Idris akui Asahan bukan kerusi selamat buatnya

0
1
https://www.facebook.com/photo?fbid=427421952078963&set=a.400665574754601

CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Seri Idris Haron mengakui kerusi ditandinginya bukan paling selamat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, meskipun PKR kalah tipis dengan 275 undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, namun undi dibawa keluar calon PH sebelum ini Zamzuri Arifin yang menyertai Bersatu juga agak besar.

“Saya tak nampak Asahan ini sebagai tempat selamat. Kalau kita berkira-kira dengan fakta yang ada sebenarnya semua tempat tidak selamat bagi mana-mana calon.

“Ini kerana saya memandang dinamik politik itu sungguh pesat, di bawah PH dahulunya walaupun (Zamzuri) kalah dengan 275 undi, tapi perlu diingat calon yang hampir memenangi kerusi ini dahulu telah keluar,” katanya dipetik MalaysiaGazette, hari ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu berkata, PKR kini berusaha keras memikat semula pengundi yang dibawa oleh Zamzuri.

“Zamzuri telah membawa keluar bersama lebih kurang 1,200 hingga 1,500 undi. Jadi dalam keadaan hari pertama selepas penamaan calon, PH di kawasan Asahan ini telah defisit sekurang-kurangnya 1,500 undi.

“Kita nak kena cari 1,500 undi itu, ini yang saya katakan kami bekerja siang malam dengan bersungguh-sungguh untuk meraih undi ini.

“Sekurang-kurangnya kita setara dengan calon BN yang telah memperolehi 5,900 undi pada PRU14 lalu,” katanya.

Pada PRU ke-14 lalu, Zamzuri yang mewakili PKR ketika itu memperoleh 5,667 undi dan kalah ditangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Ghafar Atan dengan 5,942 undi.

Zamzuri kini bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka bagi kawasan DUN Rembia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here