MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan tahniah kepada Presiden Pas atas gelaran Tan Sri yang baru diterima, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Azmin menzahirkan perasaannya kepada Presiden Pas itu kerana dianugerahkan gelaran itu oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Tahniah diucapkan kepada Tan Sri Abdul Hadi bin Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas) yang dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya di Facebook.
Abdul Hadi, 74, antara 19 individu yang menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) dengan gelaran ‘Tan Sri’ sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah hari ini.
Bagaimanapun, ucapan tahniah daripada Ahli Parlimen Gombak itu mengundang reaksi netizen yang rata-ratanya bernada kecaman dan sindiran kepada Abdul Hadi.
“Duta Khas boleh dapat. Apa dia buat?” persoal netizen bernama Khairul Shahril.
Tinjauan di ruangan komen, netizen turut mempertikaikan kelayakan Abdul Hadi yang juga Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri untuk menerima gelaran itu.
“Tak kisah berapa banyak anugerah dia dapat. Persoalannya, adakah dia layak?” tanya Mehmed Luthfi.
Tidak kurang juga ada yang mengaitkan amanat ekstrem Hadi kepada ahli dan penyokong Pas sejak 40 tahun lalu yang antara lain menuduh Umno sebagai parti kafir.
“Jasa kerana keluarkan Amanat,” perli Pauzi.
Untuk rekod, Amanat Haji Hadi yang merupakan ceramahnya di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 kemudiannya dikatakan sebagai punca tragedi Memali seperti pernah didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam masa sama, warganet juga menyindir rekod ketidakhadiran Hadi yang kerap dalam sidang Dewan Rakyat.
“Alhamdulillah, selalu ponteng Parlimen pun dapat Tan Sri,” sinis Muazam Zam. – Malaysiapost

