TAN Sri Muhyiddin Yassin hanyalah kontraktor yang pasang batu bata, tapi Tun Dr Mahathir tetap arkiteknya, itulah analogi yang digambarkan oleh Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin terhadap Presiden Bersatu itu.
Setiausaha Akhbar Dr Mahathir itu membidas Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lantang mendakwa beliau adalah individu bertanggungjawab mencetuskan penubuhan Bersatu pada 2016.
“Arkitek dah plan cantik, kontraktor buat tak ikut plan. Pergi jual kontrak kat orang lain,” katanya merujuk tindakan Muhyiddin membawa keluar Bersatu dari Pakatan Harapan (PH) pada ‘Langkah Sheraton’ yang berlaku pada Februari 2020 lalu.
Menerusi hantaran di Facebook, Adam Mukhriz berkongsi kronologi permulaan sehingga tertubuhnya Bersatu.
“Apabila Muhyiddin dipecat dari Umno, pada Julai 2015, Tun M sudah mulakan jelajah untuk cerita tentang keburukan pemerintahan Najib Razak tanpa Muhyiddin pun.
“Tidak lama kemudian, Tun M ketuai untuk buat Deklarasi Rakyat untuk diberi kepada raja-raja Melayu untuk mrmaklumkan mengenai kesalahan Najib Razak,” katanya.
Mengulas lanjut, Adam Mukhriz menjelaskan, pada mulanya Muhyiddin ketika itu seperti sudah berputus asa dan ingin bersara dalam politik, namun Dr Mahathir menasihatkannya supaya berfikir dahulu untuk bersara.
“Kemudian apabila Deklarasi Rakyat tidak memberi impak yang diharapkan & PRU akan diadakan, Tun M decide untuk tubuh parti baharu. Muhyiddin masa tu menolak & mahu bersara. “Saya dah jadi TPM, nak apa lagi”. Tun M terus kata “This is not about you, this is not about me, this is about this country!”
“Kemudian, Tun M panggil meeting bersama Shafie Apdal, Muhyiddin & Mukhriz di rumah untuk buat parti Melayu dan Bumiputera baharu. Ibrahim Ali pun ada. Ibrahim Ali tak bersetuju untuk bekerjasama dengan DAP waktu tu manakala Shafie Apdal berpendapat beliau akan fokus di Sabah,” katanya.
Adam Mukhriz tidak menolak bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu adalah individu yang bersusah payah menubuhkan Bersatu, namun peranannya berbeza berbanding Dr Mahathir ketika itu.
“Muhyiddin diarahkan Tun untuk set up parti baharu ini yang kemudiannya dinamakan Bersatu. Walaupun masa tu ada usaha untuk hanya nak bagi Tun M sebagai penasihat sahaja bukan Pengerusi, Tun M akhirnya menjadi pengerusi Bersatu dengan no ahli 0000001. Muhyiddin 0000002.
“Nak sangat claim pengasas, ambiklah Tun M tak heran. Jawatan PM pun Tun M tak hairan. Jadi, mungkin betul Muhyiddin kata dia tubuhkan Bersatu tapi ada beza antara arkitek dan kontraktor,” katanya.
Semalam, dalam satu ucapan sempena kempen Perikatan Nasional (PN) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Muhyiddin menegaskan, penubuhan Bersatu adalah cetusan beliau selepas dipecat Umno pada tahun 2015.
Katanya, beliau merasakan keperluan untuk bersuara mengenai isu 1MDB kepada Najib pada masa itu, lalu menubuhkan parti baharu yang dinamakan Bersatu.
“Oleh itu, saya mengambil langkah sebenarnya, bukan Mahathir, untuk membentuk Bersatu, kerana untuk perjuangan atau jihad kita berkesan, kita tidak boleh bersendirian. Ia perlu berada dalam kumpulan atau platform politik yang kuat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, beliau adalah orang pertama mengingatkan Dr Mahathir bahawa jangan sama sekali mempercayai Muhyiddin ketika hendak menubuh Bersatu.
“Pada waktu itu Muhyiddin memohon kepada Dr Mahathir agar biar urusan pendaftaran bagi penubuhan parti Bersatu dilakukan oleh pegawainya.
“Walaupun jawatankuasa pro-tem telah ditubuhkan bagi tujuan penubuhan parti Bersatu pada waktu itu, namun Muhyiddin mengarahkan pegawai beliau untuk buat kawalan agar orang lain tidak perlu terlibat untuk tujuan tersebut.
“Ini membuktikan bahawa Muhyiddin sudah mempunyai agenda untuk ‘control’ parti Bersatu dari hari pertama penubuhannya,” katanya. – Malaysiapost

