PRN Melaka: Adly jadi Ketua Menteri jika PH menang

0
2

ADLY Zahari bakal dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata Adly adalah calon tunggal daripada gabungan itu untuk dilantik menjadi Ketua Menteri.

Katanya, prestasi Pengerusi Amanah Melaka itu memimpin kerajaan negeri sebelum ini menjadi tanda aras untuk PH mencalonkannya sebagai Ketua Menteri.

“Kita telah menonjolkan satu tokoh yang pernah memimpin Kerajaan PH dan naratif kita itu konsisten, iaitu apa sahaja langkah untuk mengembalikan mandat PH harus kita dukung.

“Maka dengan itu, muafakat dan konsensus yang tercapai oleh pimpinan ialah meneruskan komitmen yang sama dan dengan ini menamakan saudara Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri.

“Insya-Allah bila kita menang, Adly akan diangkat sebagai Ketua Menteri untuk meneruskan agenda,” ucap Anwar semasa majlis pelancaran Manifesto PH sempena PRN Melaka, hari ini.

Sementara itu, Adly menegaskan, Manifesto PH yang bertemakan Maju Bersama Harapan itu memiliki tiga teras, enam strategi dan 32 inisiatif.

“Tiga teras itu adalah Melaka Sejahtera, Melaka Makmur dan Melaka Stabil yang merangkumi inisiatif kesihatan, kesejahteraan rakyat, peluang pekerjaan, sokongan perniagaan, pelaburan ekonomi dan reformasi pentadbiran.

“Menggubal enakmen anti-lompat parti bagi menjamin kestabilan kerajaan dan mengiktiraf ketua pembangkang setaraf exco serta menjadikan amalan tender terbuka sebagai teras proses perolehan negeri antara inisiatif diperuntukkan,” katanya yang dipetik Melaka Hari Ini.

Beliau turut mengumumkan, inisiatif kesihatan Kad Melaka Sihat yang memberi manfaat RM300 setahun kepada keluarga B50 yang layak mendapatkan rawatan di klinik swasta serta Dana Ihsan Covid-19 merangkumi bantuan kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19. – Malaysiapost

Foto kredit : MHI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here