[PARLIMEN] KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) membelanja sehingga RM4.04 juta untuk membaiki 14 pejabat Menteri dan Timbalan Menteri.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, sepanjang tahun 2020 dan 2021, sebanyak 14 kementerian membuat kerja-kerja penyelenggaraan berkala dengan Kementerian di Jabatan Perdana Menteri merekodkan kos penyelenggaraan paling tinggi iaitu RM1,073, 580.
Beliau berkata, penyelenggaraan ini merupakan salah satu daripada keperluan dalam pengurusan fasiliti sesebuah bangunan.
“Ini bagi memastikan semua fasiliti dan kemudahan di pejabat-pejabat tersebut akan sentiasa terpelihara dalam keadaan baik dan kekal berfungsi sebagaimana yang dikehandaki.
“Justeru itu, penyelenggaraan bagi pejabat-pejabat menteri dan timbalan perdana menteri sentiasa dijalankan daripada masa ke semasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Nga Ko Ming (PH-Teluk Intan) yang meminta kerajaan menyatakan satu persatu perincian jumlah kos membaiki pejabat anggota Kabinet 69 orang menteri dan timbalan menteri dari tempoh 2020 hingga kini.
Dr Latiff menambah, antara kos penyelenggaraan yang terlibat ialah membaik pulih sistem pendawaian yang rosak, karpet dan perabot yang usang, siling yang rosak, serta memasang sistem telesidang video di pejabat dan bilik mesyuarat anggota pentadbiran.
Selain Jabatan Perdana Menteri, pembelanjaan penyelenggaraan yang menelan kos RM4.04 juta itu melibatkan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi; Kementerian Kesihatan; Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Perpaduan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Serta, Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan; Kementerian Perladangan dan Komoditi; Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Pertahanan.
Kementerian Kewangan; Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Wilayah Persekutuan. – Malaysiapost

