CALON Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar mengakui Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka cabaran besar buatnya untuk mengekalkan reputasi baik parti di kerusi itu.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dira mengakui bertuah dilantik sebagai calon BN dan berjanji akan meneruskan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat DUN Rim.
Dira berkata, meskipun berdepan cabaran menjadi calon wanita muda namun beliau akan memastikan pembangunan dalam pendidikan rakyat menjadi keutamaan.
“Menjadi calon wanita muda juga adalah cabaran, beberapa tumpuan seperti pembangunan pendidikan, jaringan penyampaian maklumat dan perkhidmatan akan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) DUN Rim di sini, hari ini. Turut hadir, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Ghazale Muhamad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai calon baru, beliau berbesar hati mendapat kerjasama daripada Ghazale untuk menerusikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Saya bertuah dicalonkan di DUN Rim, ini kampung keluarga mak saya dan sebahagian keluarga saya ada di sini, tiada masalah setakat ini kerjasama diberikan kepada saya (dan) terima kasih kepada Datuk Wira Ghazale Muhamad memberi dorongan untuk membantu.
“Sebagai calon baru saya diberi mandat untuk meneruskan legasi dan khidmatnya, beliau tidak terima sebarang rungutan sebelum ini dan itu cabaran utama kepada saya untuk ‘perform’ sebaik mungkin.
“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk laksanakan kerja Datuk Ghazale sebelum ini andai saya diberikan mandat pada 20 November nanti,” katanya.
Kerusi DUN Rim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Selain Dira, PN mengetengahkan Azalina Abd Rahman dan Prasanth Kumar sebagai calon PH. – Malaysiapost

