Najib pilih tidak saman Tun M

0
1

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, memaklumkan beliau memilih untuk tidak menyaman Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan-dakwaan yang dibuat Ahli Parlimen Langkawi berkenaan.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ia atas faktor-faktor peribadi tertentu namun tidak menerangkan lebih lanjut mengenainya.

Najib bagaimanapun menegaskan tindakan sebaliknya dilakukan terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan sudah dua kali mengambil tindakan undang-undang terhadapnya pada bulan lalu.

“Saya terbaca banyak komen yang suruh saya saman Tun Mahathir dan Tommy Thomas dalam posting saya berhubung kekalahan kerajaan dalam kes lucut hak terhadap saya.

“Sebenarnya, saya sudah saman Tommy dua kali bulan lepas. Mungkin ramai yang terlepas berita tersebut. Kali pertama berhubung salah guna kuasa serta niat jahat untuk mendakwa saya dalam kes-kes berhubung 1MDB,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, kali kedua ialah saman fitnah sebab Tommy mengaitkannya dengan pembunuhan Altantuya dalam bukunya walaupun telah memutuskan beliau tidak terlibat.

“Tapi saya pilih tak saman Tun Mahathir atas faktor-faktor peribadi tertentu,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam menolak usaha kerajaan untuk melucut hak barangan mewah yang disita daripada Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta anak-anak mereka selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) gagal membuktikan barangan tersebut dibeli dengan menggunakan dana 1MDB. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here