Masalah ‘legasi’ pegawai perubatan kontrak perlu diselesaikan segera – KJ

0
1
https://www.facebook.com/photo?fbid=431494468347182&set=pcb.431496421680320

DARIPADA 10,583 pegawai perubatan kontrak yang sudah tamat perkhidmatan wajib dengan Kementerian Kesihatan (KKM), seramai 4,186 orang sudah dinilai dan diperakui untuk lantikan tetap oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata jumlah itu membabitkan 3,586 lantikan pegawai perubatan dan masing-masing 300 pegawai pergigian serta pegawai farmasi.

Beliau berkata, perkara itu membabitkan implikasi tambahan kewangan sebanyak RM377,485,089 bagi semua jawatan lantikan tetap berkenaan tahun depan.

“Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 14 Julai lalu, kerajaan telah membuat keputusan supaya pegawai lantikan kontrak disambung dua tahun lagi bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan.

“Ia juga bagi membolehkan pegawai membuat persediaan menyambung pengajian kepakaran,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai langkah kerajaan dalam menghadapi gelombang kedua Hartal Doktor Kontrak dan halangan pelantikan jawatan tetap serta implikasi kewangan pengambilan pegawai tetap.

Menjawab soalan tambahan Anwar mengenai jaminan kerajaan bagi pelantikan lebih 10,500 pegawai perubatan kontrak berkenaan dilantik secara tetap, Khairy Jamaluddin berkata kerajaan komited untuk memastikan isu diselesaikan segera.

“Pendirian saya dengan Ketua Pembangkang tidak jauh berbeza. Sekarang ini, kita lihat daripada 10,000 orang, berapa ramai yang diperlukan dari segi unjuran keperluan KKM.

“Saya rasa, pendirian saya juga menghampiri Ketua Pembangkang. Apa yang diperlukan adalah mereka perlu dilantik secara tetap,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy menegaskan buat masa ini JPA meminta unjuran daripada KKM berkenaan berapa ramai doktor yang diperlukan untuk tahun-tahun mendatang dan ia sedang disediakan KKM.

“Ini supaya kita dapat kemukakan kepada JPA dan Kementerian Kewangan (MOF) berkenaan keperluan berdasarkan unjuran dan keperluan untuk doktor ini dilantik secara tetap.

“Sejak akhir 2016, setiap pegawai perubatan latihan siswazah dilantik secara kontrak, iaitu lebih 24,000 orang dan yang ditawarkan secara tetap hanya 1,000 sahaja.

“Ia adalah masalah legasi lama yang perlu kita atasi segera. Saya tak pasti sama ada kita dapat serap semua yang ada di bawah kontrak,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini kerajaan akan mulakan menyerap pegawai perubatan kontrak ke perkhidmatan tetap dengan unjuran keperluan terlebih dahulu. – Malaysiapost

Kredit Foto: FB/Khairy Jamaluddin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here