HASRAT peminat cilik yang sedang bertarung dengan penyakit barah mata untuk bertemu dengan penyanyi kesayangannya, termakbul akhirnya.
Tambah meruntunkan hati, kanak-kanak yang dikenali dengan nama Nur Mardhiah, 6, turut menderita lima penyakit kronik lain telah melupakan penderitaannya sejenak sebaik sahaja hasratnya ditunaikan Iman Troye.
Keriangan Nur Mardhiah itu dapat dilihat menerusi perkongsian di Instagram milik Iman yang memaparkan penyanyi itu membawa peminat cilik istimewanya itu berjalan-jalan di Aquaria KLCC, baru-baru ini.
Perkongsian penyanyi itu telah menarik perhatian orang ramai, apabila mendapati peminat cilik tersebut merupakan insan istimewa yang sedang bertarung dengan beberapa penyakit kronik.
Ibarat berat mata memandang berat lagi bahu memikul, Iman menjelaskan, dia cuba menggembirakan hati peminat ciliknya itu mengikut kemampuan diri.

Jelasnya, dia kelu tidak terkata apabila kali pertama bertemu Nur Mardhiah yang merupakan peminat lagu ‘Teman’, masih mampu mengukir senyuman di wajahnya meskipun sedang menderita beberapa penyakit kronik.
“Assalamualaikum semua. Setiap dari kita punya jalan cerita yang tersendiri, jadi kisah penuh liku adik Mardhiah Iman kongsi di sini.
“Sejujurnya Iman lambat tahu tentang adik comel ini yang ingin berjumpa Iman, dia adalah peminat lagu Teman.
“Alhamdulillah, minggu lepas Iman berpeluang berjumpa dengan adik Mardhiah, berjalan-jalan di Aquaria KLCC dan menggembirakannya yang termampu, dan Iman boleh katakan pertemuan itu sangat menginsafkan Iman.
“Adik Mardhiah seorang yang sangat kuat, berusaha untuk bergembira walaupun sudah banyak pembedahan yang beliau hadapi. Di dalam kesakitan, adik Mardhiah mampu tersenyum, menyembunyikan kesakitannya,” catatnya di Instagram.
Iman juga berkongsi beberapa maklumat tentang penyakit yang dihadapi oleh peminat ciliknya itu di Instagramnya.
Katanya, Nur Mardhiah menghidap barah mata, penyakit paru-paru kronik, OKU Celebral Palsy, Global Development Delay, Chronic Otitis Media dan Glanation Tissue.
Lebih memeritkan, Nur Mardhiah perlu menjalani rawatan setiap minggu, namun pendapatan kedua ibu bapa peminat ciliknya itu tidak seberapa kerana hanya meraih pendapatan hasil berniaga kecil-kecilan menjual kuih dan barangan bundle.
“Adik Mardhiah mempunyai Chromosome 13Q Deletion Syndrome, kanser mata dan pembedahan sudah dijalankan untuk membuang mata kiri, chronic lung disease, OKU Celebral Palsy, Global Development Delay. Terbaru Chronic Otitis Media dan Glanation Tissue dalam telinga kanan.
“Rawatan untuk adik Mardhiah adalah setiap minggu, dan orang tua beliau mencari rezeki dengan berniaga bundle dan kuih frozen.
“Berita terbaru tentang adik Mardhiah adalah dia sudah berada di wad untuk sekali lagi menjalani major operation di dalam minggu ini,” jelas Iman.
Justeru, penyanyi itu berharap dengan perkongsian kisah Nur Mardhiah ini, orang ramai dapat mendoakan dan memberi bantuan yang termampu buatnya sekeluarga.
“Jom kita sama-sama doakan adik Mardhiah. Semoga Allah SWT mempermudahkan kesemuanya dan adik Mardhiah dapat membesar seperti kanak-kanak lain.
Untuk bersama-sama membantu, Iman kongsi details di sini: Muhammad Iqmal Ramli – 013 875 2749, ″ catat Iman. – Malaysiapost

