Ganja ubat alternatif, Syed Saddiq puji KJ

0
1

AKTA sedia ada yang mengawal selia kanabis dan hasilnya di Malaysia iaitu Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 tidak menghalang penggunaan kanabis bagi tujuan pengubatan.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang berkata, suatu keluaran yang mengandungi kanabis bertujuan untuk pengubatan manusia boleh digunakan di Malaysia, sekiranya mematuhi undang-undang digariskan.

“Keluaran telah didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah sepertimana ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang dibuat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

“Pengimport juga perlu mempunyai lesen dan permit import bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik, Akta Racun serta Akta Dadah Berbahaya.

“Penjualan atau pembekalan runcit untuk rawatan perubatan bagi pesakit terpilih hendaklah dijalankan oleh pengamal perubatan berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 atau ahli farmasi berdaftar dengan lesen Jenis A kepada individu tertentu berdasarkan preskripsi yang dikeluarkan pengamal perubatan berdaftar,” katanya.

Khairy berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) di Parlimen.

Terdahulu, Syed Saddiq meminta Kementerian Kesihatan menjelaskan pendirian Malaysia mengenai penggunaan hemp atau ‘medical marijuana’ sebagai ubat alternatif.

Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, ini kerana ia telah dilaksanakan di banyak negara asing dan diiktiraf oleh komuniti perubatan antarabangsa.

Bagaimanapun, Khairy menjelaskan, sekiranya terdapat pihak yang mempunyai bukti saintifik mencukupi untuk menggunakan kanabis bagi apa-apa tujuan pengubatan dengan mengambil kira aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya, maka permohonan untuk mendaftar produk boleh dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah untuk dinilai dan didaftarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 untuk dipasarkan di Malaysia.

Sementara itu, Syed Saddiq telah memberi reaksinya mengenai penjelasan Khairy menerusi Twitter, memuji jawapan Menteri Kesihatan itu.

“Saya benar-benar kagum dengan jawapan yang diberikan @KhairyKJ dan pasukannya di kementerian.

“Ini adalah proses membuat keputusan berasaskan data dan Sains. Ganja perubatan dibenarkan apabila prasyarat dipenuhi.

“Jika ia boleh dibuktikan melalui Sains, boleh didaftarkan dan ketiga, kerajaan akan memudahkan. Kudos,” ciapnya.

Syed Saddiq juga berkata, jawapan yang diberikan pada kali ini benar-benar membuktikan Kementerian Kesihatan ‘buat kerja’.

“Nampaklah team buat kaji selidik yang mendalam dan ambil tindakan, bukan sekadar jawab kerana terpaksa jawab,” ciapnya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here