Bung Mokhtar seru Ahli Parlimen sokong Akta Anti Lompat Parti

0
1

[PARLIMEN] AHLI Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menyeru semua Ahli Parlimen menyokong usul berhubung Akta Anti Lompat Parti apabila ia dibentang di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, usul berkenaan yang dicadangkan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) sewajarnya diterima bagi memastikan kestabilan politik serta kerajaan sekali gus untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Saya pun tidak suka orang lompat-lompat dan waktu orang lompat-lompat di Sabah dulu, saya orang terakhir yang tetap tidak lompat. Oleh kerana mungkin orang yang lompat-lompat itu maka Shah Alam (Khalid Abd Samad) pun dalam (kerajaan ketika itu) sana maka Shah Alam pun gugur juga.

“Sebab itu, kita mahu adakan pilihan raya supaya jangan ada lompat-lompat dan Ahli Parlimen Pengerang pun sedang merangka satu usul iaitu akta anti lompat parti.

“Saya memang sokong. Saya harap Shah Alam pun sokong. Kita tidak mahu ada lompat-lompat. Kalau kita menang, menanglah. Kalau kalah, kalahlah, apa mahu takut? Lawan sajalah,” katanya ketika berucap pada sesi perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Bung berkata demikian selepas Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) mencelah sesi perbahasannya dengan membangkitkan tindakan lompat parti dalam kalangan ahli politik mengakibatkan ketidakstabilan politik di negara ini.

Terdahulu, Khalid mendakwa tindakan lompat parti oleh segelintir pihak menyebabkan pertukaran kerajaan sehingga turut menjejaskan ekonomi negara.

“Ini merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh golongan yang telah lompat dan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang dulu ada majoriti besar tetapi apabila berlakunya pengkhianatan maka ketidakstabilan politik terhasil untuk negara Malaysia hingga sekarang,” kata Khalid.

Pada September lalu, Azalina meminta supaya rang undang-undang anti lompat parti dibentangkan di Dewan Rakyat dengan secepat mungkin memandangkan amalan lompat parti bukan sahaja tidak adil kepada rakyat tetapi juga terhadap parti politik yang berbelanja besar bagi perolehan data dan hal-hal lain ketika pilihan raya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here