Zii Jia tarik diri, hasrat tumpas Kean Yew tak kesampaian

0
1

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terlepas untuk merangkul trofi keduanya tahun ini apabila terpaksa menarik diri di set ketiga bertemu lawan dari Singapura, Loh Kean Yew dalam aksi final Terbuka Hylo di Jerman, malam tadi.

Keputusan itu terpaksa dibuat susulan kecederaan belakang yang dialami Juara All England itu termasuk beberapa kali terjatuh ketika menentang Kean Yew.

Zii Jia dilihat seperti menahan sakit di belakang badan sebelum mengambil keputusan menarik diri pada kedudukan 21-19, 13-21, 12-17.

Sebelum ini, Zii Jia yang juga pemain ranking nombor lapan dunia itu tewas di tangan Kean Yew yang menduduki ranking ke-39 dunia ketika aksi pusingan pertama Terbuka Perancis, minggu lalu selepas tewas 22-24, 14-21.

Terdahulu, Zii Jia dilaporkan sudah beraksi selama tujuh minggu tanpa rehat dalam lima kejohanan berturut-turut.

Keputusan di Jerman itu menyaksikan Zii Jia terlepas peluang bagi merekodkan gelaran keduanya tahun ini selepas menjuarai saingan Seluruh England, Mac lalu.

Zii Jia sebelum ini bergelut dengan prestasi tidak menentu selepas mengharungi empat kejohanan berturut-turut, Piala Sudirman, Piala Thomas, Terbuka Denmark dan Perancis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here