TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan beliau mengeluarkan kenyataan kononnya krmenangan Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah kemenangan buat PAS juga.
Menerusi ciapan di Twitter beliau menegaskan petikan berita yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial itu adalah fitnah.
Katanya, perkara sebegitu sepatutnya tidak berlaku dan menasihatkan semua pihak berpolitik dengan matang.
“Didapati petikan berita di bawah berlegar dalam grup WhatsApp dan beberapa saluran media sosial yang lain. Ditegaskan bahawa kenyataan ini adalah fitnah! Berpolitiklah dengan matang dan bersih,” katanya hari ini.
Dalam entri itu juga Tuan Ibrahim memuat naik tangkap layar berita tersebut yang memaparkan gambarnya.
Kandungan tangkap layar itu berbunyi ‘sekiranya tujuh calon PAS tewas di tangan Umno, kemenangan Umno kemenangan PAS juga’.
PAS akan bertanding tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Kawasan terbabit ialah Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.
Walaupun bersama-sama Umno dalam gagasan Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada 14 September 2019, PAS memilih untuk membentuk kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu pada PRN Melaka. – Malaysiapost

