Syaf Ziyad
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil dijangka menyaksikan saingan empat penjuru apabila empat calon bertanding tiba di pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Tun Ali, sejak jam 8.45 pagi tadi.
Semua mereka tiba bersama seorang pencadang dan penyokong masing-masing.
Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasnoor Husin adalah yang pertama tiba di pusat penamaan calon Dewan Tun Ali, jam 8.45 pagi diikuti calon Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari selang seminit selepas itu.

Calon PAS, Muhammad Al Afiz Yahya tiba jam 8.49 pagi diikuti calon Bebas Abdul Hamid Mustapah, 57, yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Gagasan Piagam Rakyat tiba empat minit kemudian.
Ketika ini, semua calon sedang mendaftarkan pencalonan sebelum ditutup pada jam 10 pagi.
Suasana di perkarangan pusat penamaan calon juga berjalan lancar tanpa kehadiran penyokong calon bertanding.

Pada pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14), Adly memenangi DUN Bukit Katil dengan majoriti 3,159 undi menewaskan calon BN, Yunus Hitam dan calon Pas Muhamad Puhat Bedol. – Malaysiapost

