MySejahtera jadi ‘MyNightmare’, KJ diminta beri penjelasan

0
1

[PARLIMEN] BEKAS Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye membidas aplikasi MySejahtera kerana berlaku pertukaran status kepada Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan Individu dalam Pemantauan (PUS).

Ahli Parlimen Gopeng itu menggesa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan bagaimana masalah itu boleh berlaku sehingga menyusahkan orang ramai akibat kesilapan aplikasi berkenaan.

Katanya, permohonan maaf MySejahtera semalam atas kesilapan itu tidak mencukupi.

“Semalam ribuan rakyat dikejutkan oleh aplikasi MySejahtera.

“Aplikasi MySejahtera itu menjadi aplikasi “MyNightmare” (mimpi ngeri) untuk mereka apabila tersenarai sebagai HSO atau PUS, walaupun tidak terdedah kepada risiko Covid-19,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, pentadbir aplikasi MySejahtera memohon maaf atas kesilapan teknikal membabitkan pemberian status HSO dan PUS kepada beberapa individu.

Menerusi laman Twitter, MySejahtera menjelaskan masalah itu sudah diperbaiki dan semua status HSO dipadam serta status PUS ditarik semula

Ia selepas beberapa individu mendakwa status mereka di MySejahtera bertukar kepada HSO dan PUS.

Boon Chye menegaskan, masalah aplikasi MySejahtera itu bukan masalah kecil.

Beliau berkata, kesilapan itu menyebabkan ada yang terpaksa membatalkan perjalanan penerbangan atau program pada saat akhir.

“Ini kerana aplikasi MySejahtera mereka bertukar daripada warna hijau kepada kuning atau merah.

“Ini bukan kali pertama integriti data MySejahtera dicabul. Saya pasti keterangan (permohonan maaf MySejahtera) semalam tidaklah mencukupi untuk meyakinkan rakyat berkenaan dengan masalah ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap masalah sama tidak berulang dan Khairy perlu menjelaskan langkah yang boleh diambil. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here