Muda tak tanding PRN, kecewa PH calonkan ‘katak politik’

0
1

PARTI Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (MUDA), mengumumkan menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan kecewa dengan keputusan Pakatan Harapan (PH) menerima dua ‘katak politik’ sebagai calonnya.

Justeru Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata Muda mengambil pendirian berkecuali dalam PRN Melaka dan akan memberi fokus untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sebelum ni Muda ada berrunding dengan PH untuk wujudkan pakatan pembangkang yang berpadu.

“Malangnya pimpinan PH ambil keputusan untuk calonkan katak-katak politik yang menyebabkan jatuhnya kerajaan negeri Melaka di tengah-tengah pandemik.

“Justeru Muda menolak politik katak, politik tidak bermaruah dan tidak berprinsip yang menyebabkan rakyat susah, malah lebih RM42 juta dibazirkan untuk belanja PRN ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu PH mengumumkan dua bekas pemimpin Umno yang menarik sokongan kepada bekas Ketua Menteri sehingga kerajaan negeri tumbang, akan bertanding sebagai calon pakatan itu dalam PRN Melaka.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron sebagai calon PKR di DUN Asahan, manakala Datuk Nor Azman Hassan mewakili Amanah di kerusi DUN Pantai Kundor.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata walaupun Muda bersama PH dalam blok pembangkang, namun ia tidak dapat menerima keputusan PH mengangkat ‘katak-katak politik’ sebagai calon pilihan raya.

“Politik nilai dan bermaruah perlu diangkat, ini pendirian Muda dan kita harap walau apa pun terjadi pada PRN, tiada lagi penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Ahli Parlimen Muar itu menambah, perbincangan untuk bekerjasama dengan PH bermula hampir dua minggu lalu dan pada mulanya ia menunjukkan petanda positif.

“Dalam sesi rundingan tersebut, banyak yanb dibincangkan khususnya untuk pastikan pembangkang berpadu.

“Tetapi selepas beberapa keputusan termasuk ketegasan pimpinan PH utk calonkan katak-katak politik, jadi Muda tidak mahu terlibat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here