BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yakin simpanan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikeluarkan pada masa terdesak ketika ini akan dapat dipulihkan dalam masa yang singkat.
Ahli Parlimen Pekan itu menaruh keyakinan ia dapat dilakukan kerajaan sebagaimana yang telah dicadangkannya pada perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, minggu lalu.
Najib berkata, ia tidak boleh disifatkan sebagai langkah ‘populis’ kerana ini adalah keperluan mendesak rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Justeru itu, saya amat berharap had maksima i-Citra dinaikkan ke RM10,000 sebagai skim pengeluaran khas terakhir, kerana ini amat-amat dituntut oleh rakyat.
“Sebagai mengimbangi pengeluaran ini, kerajaan perlu memberi keutamaan untuk memulihkan semula simpanan rakyat dalam KWSP dengan cara yang saya pernah bangkitkan dalam perbahasan bajet 2021 tahun lepas dan perbahasan bajet tahun 2022.
“Sekiranya langkah-langkah seperti dicadang saya ini diambil, saya amat yakin simpanan Rakyat dalam KWSP – terutamanya bagi golongan dengan simpanan paling rendah yang terpaksa dikeluarkan pada masa yang paling terdesak – mampu dipulihkan dalam masa yang singkat,” katanya di Facebook, hari ini.
Lebih menguatkan cadangannya, Najib berkata, KWSP pernah meraih keuntungan berganda sepanjang sembilan tahun beliau menjadi Perdana Menteri.
“Kita bukan tak pernah buat. Jumlah aset KWSP naik berganda dari hampir RM300 bilion pada akhir tahun 2008 ke lebih RM840 bilion pada akhir tahun 2017 pada tempoh saya PM.
“Saya mendapati ramai yang bersuara dan mendesak ini sebenarnya mereka mempunyai tunggakan-tunggakan yang perlu dijelaskan ataupun berniat untuk mengumpul modal bagi memulakan perniagaan kecil.
“Mereka bukan suka-suka mahu mengeluarkan wang caruman mereka,” katanya.
Najib menambah, kerajaan boleh membenarkan pengeluaran khas terakhir ini kepada ahli KWSP memandangkanmpendapatan KWSP meningkat pada 2021 berbanding tahun 2020.
“Tahun lepas, propaganda kerajaan PN yang pada mulanya tolak cadangan, desakan serta syarat bajet 2021 saya pada akhir tahun 2020 untuk membenarkan pengeluaran dari akaun 1 KWSP yang kemudiannya menjadi skim i-Sinar ialah dividen serta keuntungan KWSP akan terjejas.
“Tapi saya tengok pendapatan KWSP naik 25% pulak ke RM34.05 bilion untuk separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2021 berbanding RM27.26 bilion bagi tempoh yang sama pada 2020.
“Sebelum ini saya yang kerapkali mencadangkan dan memperjuangkan pengeluaran i-Sinar, i-Lestari dan kemudiannya i-Citra KWSP apabila PKP 3.0 dilaksanakan.
“Malah skim pengeluaran dari Akaun 2 KWSP yang kemudiannya menjadi skim i-Lestari turut dicadang oleh saya pada 17 Mac 2020 – iaitu sehari sebelum PKP 1.0 bermula,” katanya. – Malaysiapost

