Kerajaan teliti dakwaan salah laku menteri, pegawai tinggi

0
1

[PARLIMEN] KERAJAAN masih meneliti semua dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan beberapa menteri dan bekas menteri termasuk pegawai tertinggi badan penguat kuasa negara, seperti mana didedahkan Edisi Siasat menerusi Twitternya baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan kompromi atau pilih kasih dalam menjalankan siasatan, walaupun ia membabitkan pimpinan tinggi negara.

Bagaimanapun, katanya, siasatan tersebut tidak boleh didedahkan kepada umum selagi ia belum lengkap.

“Kerajaan masih meneliti semuanya (dakwaan salah laku, rasuah), tapi tidak semua siasatan ini boleh didedah kepada umum selagi ia belum siap dan lengkap.

“Saya memberi penegasan bahawa tindakan kerajaan adalah untuk menyiasat sesiapa sahaja, tidak kisah sama ada ketua jabatan atau pemimpin tertinggi kerajaan.

“Siasatan tentunya akan dilaksanakan sebaik mungkin dan kita tidak akan pilih kasih dalam melaksanakan siasatan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai pendirian kerajaan terhadap pendedahan oleh saluran media sosial terbabit serta sama ada siasatan sudah dijalankan bagi memastikan dakwaan itu benar atau sebaliknya.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang membuat laporan polis berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah sepertimana yang didedahkan pengendali laman sosial Edisi Siasat.

Sejak beberapa bulan lalu, laman Twitter @edisi_siasatmy membuat ciapan dakwaan wujud salah guna kuasa melibatkan beberapa pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain beberapa pegawai tertinggi agensi penguat kuasa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here