Agong perkenan tamatkan Proklamasi Darurat di Sarawak

0
2

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak, hari ini.

Baginda berkenan menamatkan darurat itu selepas menerima menghadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Istana Negara, semalam.

Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan dalam sesi menghadap berkenaan, Yang di-Pertua Negeri Sarawak telah menyampaikan hasrat dan permohonan kerajaan negeri agar Proklamasi Darurat di Sarawak ditamatkan.

Beliau yang juga Pemangku Pengelola Bijaya Diraja, memaklumkan susulan itu Baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

“Pada sesi menghadap yang berlangsung selama satu jam bermula 8 pagi ini, Baginda telah berkenan menerima sembah nasihat daripada Perdana Menteri berhubung penamatan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak,” katanya.

Azuan Effendy berkata, Baginda turut berkenan menerima menghadap Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, semalam bagi menyembah taklimat berhubung perkara sama.

Menurutnya, turut hadir pada sesi tersebut adalah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh; dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad.

“Maka, selepas menimbang permohonan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan memperhalusi sembah nasihat Perdana Menteri serta Peguam Negara dan pandangan ketua-ketua agensi kerajaan berkenaan, Baginda telah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan.

“Perkenan Baginda terhadap penamatan Proklamasi Darurat ini selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, perlu diperjelaskan bahawa berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Baginda selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Baginda menzahirkan kegusaran terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan.

“Pada hemat Baginda, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman Covid-19 dan penularan wabak ini juga masih di tahap yang membimbangkan,” katanya.

Menurutnya, perkenan Baginda kepada penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit.

“Namun ianya diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

“Sesungguhnya Baginda menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here