DATUK Seri Najib Razak mendakwa nama dan label arak jenama Timah didaftar serta mendapat kelulusan awal di Malaysia dan mula dikeluarkan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Ogos 2019.
Bekas Perdana Menteri itu berkata jenama arak tersebut seterusnya mendapat kelulusan terakhir semasa pemtabiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Jun 2020.
“Yang paling mula cetuskan kontroversi sebaik sahaja DUN Melaka bubar untuk serang kerajaan ialah PH melalui parti Amanah, Lid (Khalid Samad) dan portal-portal mereka.
“Yang kecam kerajaan atas keputusan syarikat tersebut untuk tukar nama arak bagi menamatkan kontroversi ialah PH juga melalui parti DAP.
“Yang cetuskan kontroversi, PH. Yang kecam usaha syarikat untuk hentikan kontroversi, PH juga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata akhirnya pengundi bukan Melayu yang marah kerana dihasut oleh isu penukaran nama Timah berpihak kepada PH juga.
“Itulah mereka. Baling batu sembunyi tangan. Hasut isu perkauman dan agama untuk tipu undi,” katanya. – Malaysiapost

