CADANGAN mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam menerusi Bajet 2022 secara tidak langsung membuka ruang kepada wanita di negara ini sebagai penentu keputusan hala tuju syarikat senaraian awam.
Pengarah Operasi Baituljannah, Wan Nuradila Huda Wan Zaidon, berkata ramai wanita Malaysia mempunyai tahap pendidikan tinggi dan berpengalaman dalam bidang pengurusan yang boleh diketengahkan untuk dilantik sebagai pengarah syarikat senaraian awam.

Katanya, idea lelaki dan wanita akan saling melengkapi dan boleh menghasilkan pengurusan dan produktiviti yang baik, sesuai dipraktik dan digunapakai oleh semua jantina sekali gus menguntungkan syarikat yang membawa kepada pembangunan ekonomi negara berganda.
“Di Baituljannah saya bekerjasama dengan dua pengarah lelaki yang sememangnya kami saling bertukar idea dan pandangan pengurusan dan juga produktiviti di mana akhirnya idea itu akan dikemaskini menjadi lebih solid untuk diketengahkan kepada kakitangan dan awam.
“Alhamdulillah jumlah keperluan kakitangan kami semakin meningkat (62.5 peratus pengurusan Baituljannah digerakkan oleh wanita) dan pendaftaran awam di platform kami sehingga kini hampir sejuta setelah hampir lima tahun beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Nuradila Huda berkata, pentingnya keberadaan pengarah wanita di dalam syarikat senaraian awam agar golongan itu tidak terabai.
Menurutnya, ia kerana pengurusan tertinggi yang terdiri daripada kalangan wanita akan menitikberatkan perihal wanita.
Baituljannah.com adalah sebuah platform digital berkonsepkan mencari jodoh Muslim yang berlandaskan syariah dan data pengguna adalah selamat serta dirahsiakan.
Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan kerajaan menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi terutama menerusi latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan.
Dalam pembentangkan Bajet 2022 itu juga, beliau berkata peruntukan itu bermatlamat membantu usahawan wanita yang turut terkesan akibat Covid-19.
Selain itu, katanya, sebagai langkah meningkatkan kapasiti perniagaan mereka, sebanyak RM230 juta dana pembiayaan akan disediakan antaranya melalui Program DANANITA di bawah MARA dan TEKUNITA di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN). – Malaysiapost

