[PARLIMEN] AHLI Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu menyindir kerajaan yang tiada manifesto dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan hasil negara.
Sehubungan itu secara sinis, Mohamad meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terlalu menekan kerajaan berhubung isu perjudian.
“Port Dickson janganlah tekan sangat kerajaan ini, mereka bukan ada manifesto, mereka bukan ada apa yang mereka janjikan, jadi bila ada apa yang boleh dapat duit, mereka buat sajalah.
“Jadi janganlah Port Dickson asyik tekan kerajaan yang tak ada manifesto ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau bangun mencelah ucapan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat.
Menjawab sindiran Mohamad, Anwar berkata manifesto bukan sekadar sesuatu yang ditulis, tetapi mesti dilaksanakan apatah lagi kerajaan sekarang dikatakan kerajaan pimpinan Melayu Islam.
Terdahulu Anwar meminta kerajaan khususnya Kementerian Kewangan mendedahkan penglibatan orang Melayu-Islam dalam aktiviti perjudian.
Anwar berkata berdasarkan laporan yang diterimanya, dianggarkan sekitar 45 daripada 62 kelab judi yang dipercayai dianggotai oleh orang Islam.
Dakwanya, statistik tersebut seolah-olah sengaja disembunyikan oleh kerajaan dengan memberikan lesen perjudian kepada kumpulan tersebut. – Malaysiapost

