
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyiasat sekolah yang mendesak murid membeli kasut baru.
Aduan itu dibuat oleh Amir Runner menerusi ruangan komen di Facebook Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini.
Pemilik akaun itu berkata, sebelum pembukaan sekolah, Dr Radzi telah memaklumkan bahawa pelajar dibenarkan untuk tidak memakai pakaian seragam sekiranya pakaian sedia ada tidak lagi muat, namun mereka perlu memakai pakaian yang sopan, kemas dan sesuai untuk ke sekolah.
Justeru, beliau meminta pencerahan yang lebih terperinci berkaitan perkara tersebut, yang menurutnya arahan antara KPM dan sekolah tidak selaras.
“Salam tuan (Radzi).. arini anak saya tahun 4 sebuah sekolah di Nilai, hari pertama sekolah selepas lama cuti raya. Kasut dah memang tak boleh pakai. Jadi memandangkan, tuan yg berhormat pernah mengatakan, bahawa, KPM, memberi kelonggaran pada murid, berkenaan pemakaian pakaian ke sekolah. Ok anak saya balik, dia cakap, kasut dia warna hitam, bawah ada putih sikit, cikgu kata bagi tempoh seminggu kena beli kasut lain. Kata cikgu, kasut tu tak sesuai.
“Saya nak tanya.. kenapa pendirian KPM dan pihak sekolah macam tak selaras.. Saya ada update di status mengenai perkara itu dan ada pelajar respon status saya mengatakan, dia pun diarahkan oleh cikgu memakai pakaian uniform sekolah, walaupun dia pakai baju kokurikulum ke sekolah.
“Untuk info, saya mampu beli kasut tersebut, tapi saya bercakap bagi pihak yang tak berkemampuan.. memang bagi kita RM20 tu kecik, tapi kalau bagi pelajar yang memang tak mampu? Terima kasih, mohon penjelasan,” tulisnya.
Dalam ruang komen tersebut, Radzi turut dilihat membalas komen dengan menyatakan pihaknya juga menerima beberapa aduan dan akan menyiasat perkara berkenaan.
“Saya juga ada menerima aduan yang sama untuk beberapa sekolah yang lain. Mohon Amir Runner nyatakan nama sekolah anak. InsyaAllah, kami akan semak,” tulisnya. – MalaysiaPost
