Kit Siang cadang 30 November Hari Peringatan mangsa korban Covid-19

0
1

VETERAN DAP, Lim Kit Siang mencadangkan 30 November dijadikan tarikh memperingati mereka yang terkorban akibat Covid-19 di negara ini.

Kit Siang berkata, beliau mencadangkan majlis peringatan itu dianjurkan setiap tahun dengan Perdana Menteri mengetuai acara berkenaan.

“Marilah kita memperingati mereka yang terkorban akibat Covid-19 sekali setiap tahun, dengan Perdana Menteri mengetuai majlis-majlis tersebut.

“Saya mencadangkan tarikh 30 November itu kerana saya menjangkakan yang kematian akibat Covid-19 di Malaysia bakal menurun menjelang hari tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, Malaysia kehilangan seorang tokoh yang amat dihormati dengan kematian Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing akibat jangkitan Covid-19.

“James Masing adalah pemimpin Dayak yang telah banyak berbakti untuk masyarakatnya, negeri dan juga negara. Kehilangan beliau tidak ada galang gantinya,” katanya.

Kit Siang berkata, sebuah pasukan sukarelawan telah mewujudkan sebuah laman web memorial untuk memperingati mereka yang  terkorban melawan virus Covid-19 di Malaysia – https://c19memorial.my/.

“Sejak Covid-19 melanda negara pada 24 Januari, dan menyebabkan kematian pertama pada Mac 2020, 28,912 telah terkorban akibat wabak itu (termasuk 5,846 kes BID).

“Seperti yang dinyatakan laman web memorial C19 tersebut: 21,000 itu bukan sekadar angka. Setiap angka tersebut adalah ibu, bapa, anak, datuk, sahabat, dan individu yang amat disayangi. 

“Perginya setiap nyawa itu meninggalkan pelbagai kenangan yang akan sarat dibawa dan menghantui mereka yang ditinggalkan,” katanya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, memorial itu dibangunkan agar nama, wajah, serta kisah-kisah sepanjang kehidupan mereka akan dapat terus dikongsi dan terpahat selamanya dalam memori. 

“Maklumat yang disiarkan dalam memorial ini dikumpul daripada carian awam (laporan media tempatan dan hantaran media sosial kepada awam), serta maklumat yang dikemukakan oleh ahli keluarga dan orang awam,” katanya.

Sementara itu, Kit Siang berkata, wabak Covid-19 telah mengorbankan 28,000 nyawa sejak 22 bulan lalu, dengan 5,839 daripadanya didapati mati di luar fasiliti (BID).

“Kadar kematian Covid-19 di Malaysia adalah paling tinggi di rantau ASEAN dan Asia Timur, dengan kadar kematian sebanyak 876 per sejuta penduduk.

“Kita harus menurunkan kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia selain kematian akibat wabak itu yang berlaku di luar fasiliti (5,846 setakat ini),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here