Kenapa tak siasat 1MDB, Najib jawab Tun M

0
2
Pix via Malaysiapost

DATUK Seri Najib Razak hari ini menjawab kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan keputusan kerajaan menubuhkan panel khas menyiasat isu Pulau Batu Puteh.

Dr Mahathir semalam dilaporkan berkata sebaliknya kerajaan tidak menyiasat kehilangan wang negara berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas mengenainya, Najib berkata Pakatan Harapan (PH) menerusi manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah berjanji menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas 1MDB, namun ia tidak berlaku seperti dijanjikan.

“Semalam, Tun Mahathir kata kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura adalah isu kecil. Dia kata isu “bossku” lagi penting.

“Lalu dia soal kenapa kerajaan perlu tubuh panel khas untuk siasat kehilangan Pulau Batu Puteh tetapi tak siasat 1MDB.

“Sebenarnya, manifesto PRU14 PH menyenaraikan perlaksanaan RCI ke atas 1MDB sebagai sebahagian daripada 10 janji 100 hari. Entah berapa kali saya telah saran korang buat RCI ini selepas PRU14.

“Tapi korang kata janji manifesto bukan kitab suci pula,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Semalam Dr Mahathir mengkritik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyemak semula permohonan semakan dan pentafsiran dalam kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Mahathir sekali lagi menegaskan Malaysia terikat dengan keputusan ICJ yang menurutnya adalah muktamad.

“Bila negara lain kata kita ada perdana menteri penyamun, sehingga digelar kleptokrasi, itu tidak jadi isu. Kita curi berbilion, itu bukan isu. Cium tangan dan panggil dia Bossku.

“Bila kita berpegang pada janji (berkaitan Batu Puteh), ia jadi isu,” katanya menerusi satu forum malam tadi.

ICJ pada 2008 memutuskan Batu Puteh milik Singapura dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bawah pentadbiran Mahathir pada 2018 tidak memfailkan semakan kehakiman. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here