PRN Melaka: PAS tidak tersepit antara Umno-Bersatu – Ahmad Fadhli

0
1

KETUA Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) baharu, Ahmad Fadhli Shaari menolak dakwaan partinya kini tersepit antara Umno dan Bersatu bagi isu kerjasama untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka. 

Sebaliknya, Ahmad Fadhli berkata, beliau melihat situasi tersebut menjadikan PAS kini, parti rebutan ramai, selain kerana parti ini mempunyai nilai yang tinggi hingga dipercayai kedua-dua parti itu. 

“Saya tidak melihat PAS dalam keadaan tersepit. Saya melihat PAS merupakan suatu parti yang menjadi rebutan ramai. 

“Itu bukan tersepit namanya. Kita mempunyai nilai yang tinggi sehingga dipercayai oleh Umno dan Bersatu,” katanya seperti dilapor Malaysiakini. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama pemberita selepas Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-62 di Port Dickson, Negeri Sembilan. 

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, PAS juga akan bertindak sebaik mungkin dalam melaksanakan persefahaman politik antara kedua-dua parti berkenaan serta tidak akan berlaku pertembungan tiga penjuru. 

“Saya juga dimaklumkan PAS akan keluarkan kenyataan dalam sedikit masa lagi dan kita maklum bahawa perkembangan terbaru yang diumumkan Perdana Menteri yang telah diberikan mandat oleh Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk mengurus PRN Melaka ini bahawa Umno sendiri sudah setuju untuk tidak berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRN Melaka. Jadi, itu sudah cukup baik,” katanya. 

Bagaimanapun, mengulas lanjut kenyataan Muhyiddin bahawa PN bersedia untuk pertandingan tiga atau empat penjuru, Ahmad Fadhli berkata, beliau optimis bahawa akan ada jalan keluar berhubung situasi terbabit. 

“Saya optimis akan berlaku jalan keluar. Kenyataan-kenyataan yang keluar itu saya kira hasrat daripada parti yang akhirnya akan berakhir di meja rundingan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here