Kenyataan Azmin bukti PN sudah goyang – Isham Jalil

0
1

KENYATAAN Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) bahawa gabungan itu belum membuat keputusan untuk menggunakan lambang apa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan ia sudah goyang dan berada dalam situasi tidak pasti.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata jika PN menggunakan lambang PAS, besar kemungkinan orang bukan Melayu tidak akan undi mereka.

Pada masa sama katanya, jika menggunakan lambang PN pula, mereka akan hilang undi Melayu PAS.

“Dalam kedua-dua kes, mereka (Bersatu) tahu sukar untuk mereka menang apa-apa kerusi, tambahan lagi dengan rekod buruk mereka mentadbir kerajaan selama 39 bulan sebelum ini (22 bulan dalam PH dan 17 bulan dalam PN).

“Kini mereka hanya ingin pecahkan undi Melayu sahaja supaya BN tidak menang.

“Dan sekali lagi mereka akan bantu PH untuk menang dengan pecahkan undi Melayu seperti yang mereka telah buat semasa PRU14 yang lepas. Inilah dia perangai Parti Pemecah Belah Melayu (PPBM),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam Mohamed Azmin dilaporkan berkata PN masih belum memutuskan mengenai logo yang akan digunakan bagi menghadapi PRN Melaka.

Beliau berkata gabungan itu sedang dan akan melakukan perbincangan lanjut mengenainya.

Menurutnya, tarikh bagi hari penamaan calon masih lambat dan maklumat berkaitan penggunaan logo hanya akan diumumkan selepas keputusan dicapai oleh parti-parti yang terlibat.

Kelmarin Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan agar Umno dan Bersatu bertanding di PRN Melaka dengan menggunakan logo parti berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here