PRN Melaka medan ‘perang’ kini di media sosial

0
1

MEDAN ‘perang’ bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini 90 peratus adalah di media sosial, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, ia susulan larangan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung larangan sebarang majlis sosial membabitkan pilihan raya.

Menurutnya, susulan itu semua ahli dan jentera PAS perlu menggunakan semua paltform media sosial yang ada sebagai medan berdakwah.

“Bila Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan larangan perhimpunan, kempen rumah ke rumah dan sebagainya membabitkan pilihan raya, maka medan perang pilihan raya telah bertukar kepada media sosial 90 peratus.

“Ini menuntut kita semua menguasai teknologi baru yang ada,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-62 di Negeri Sembilan, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) telah dikenakan denda RM4,000 kerana mengadakan perhimpunan, manakala Umno juga didenda RM10,000 kerana melancarkan jentera parti di PWTC Kuala Lumpur dan bukannya di Melaka.

“Ini bermakna kita kena bersedia kepada benda baru dan kita tahu bagaimana pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) PAS diserang dalam media sosial.

“Kita difitnah dapat dana RM90 juta daripada Umno dan ada ahli PAS yang percaya walaupun ia tidak munasabah, tetapi apabila perkara tidak betul diulang banyak kali akhirnya orang percaya dan inilah yang sedang kita hadapi sekarang,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, PAS perlu menggunakan apa sahaja laman sosial yang ada sebagai medan dakwah, contohnya kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu dikongsi disemua medium dan bukannya berita itu diterima daripada pihak lain terutama media musuh.

“Saya kadang-kadang pelik terima maklumat daripada rakan daripada ahli parti yang berkongsi berita Malaysiakini, Malaysianow dan berita-berita yang memang musuh-musuh.

“Kita perlu jadi elemen kepada penyebaran media untuk parti kita sendiri dan kita ada petugas cyber trooper, tetapi kita akui dengan cabaran terbuka ini kita berdepan dengan masalah besar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here