DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) meminta semua pihak sedar kesan langsung daripada Bajet 2022, di mana ia menyaksikan unjuran defisit yang meningkat.
Ketuanya, Shahir Adnan, berkata ia secara langsung menyebabkan kerajaan akan terus berhutang sekali gus meningkatkan siling hutang negara yang sememangnya tinggi.
Beliau berkata, siling hutang negara telah dinaikkan sebanyak dua kali dalam tempoh dua tahun iaitu ketika pentadbiran Barisan Nasional, siling hutang adalah 55% daripada KDNK dan dinaikkan pada tahun 2020 kepada 60%.
“Kemudiannya ianya dinaikkan sekali lagi pada tahun 2021 kepada 65%. Harapnya siling hutang tidak mencecah 70% pada tahun 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, walaupun mencatatkan belanjawan terbesar di dalam sejarah negara, Belanjawan 2022 merupakan belanjawan bagi persiapan negara menghadapi fasa endemik.
Justeru, katanya, sebagai langkah persediaan, kerajaan perlu adil dalam perbelanjaan negara dan merujuk laporan audit negara secara serius.
“Contohnya, Kerajaan perlu mengawal defisit dengan bijaksana, iaitu tidak boros dalam berbelanja.
“Rasuah dan ketirisan perlu disanggah secara “total” atau keseluruhan di semua peringkat, iaitu di peringkat pekerja, pengurusan dan Kementerian.
“Kontrak-kontrak kerajaan secara rundingan terus perlu disanggah agar persaingan dapat dijalankan dengan adil dengan harga kompetitif,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh berkenaan Bajet 2022, DPIM berpendapat bantuan tunai kepada rakyat adalah pelan jangka pendek yang berkesan dalam membantu rakyat.
“Ramai rakyat menjadi miskin akibat Covid-19. Bayangkan hampir 13% daripada kumpulan T20 turun kepada M40 dan 20% kumpulan M40 turun kepada B40.
“Keadaan ini menjadikan negara kita bergerak ke belakang dan pelan tindakan susulan perlu diambil,” katanya,
Shahir berkata, pihaknya berharap Kementerian Kewangan perlu juga membantu golongan bujang B40 yang tercicir daripada pemberian Bantuan Keluarga Malaysia 2022, berbanding RM350 daripada Bantuan Prihatin Rakyat.
“Bantuan “Hygiene Kit” dalam membasmi “Kemiskinan haid” di negara kita adalah suatu perkara yang wajib disokong semua pihak,”katanya.
Sementara itu, Shahir berkata, senario politik negara berubah sejak PRU-14, namun Bajet 2022 semalam dibentangkan dengan tenang tanpa ganggu-gugat pihak pembangkang.
“Persefahaman MoU antara Kerajaan dan Pembangkang merupakan langkah politik bernas dalam menstabilkan suhu politik seterusnya meluluskan Belanjawan 2022 secara berhemah,” katanya. – Malaysiapost

