PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah berangkat ke Jerman bagi mendapatkan rawatan pakar susulan sakit belakang dan leher yang dialaminya.
Perkara itu dikongsikannya melalui satu rakaman video di laman Facebook sebelum pelepasannya di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang turut dihadiri ahli keluarga serta rakan dan beberapa kepimpinan Umno.
Beliau yang ditemani isterinya Datin Seri Hamidah Khamis mengucapkan terima kasih kepada semua yang menghantarnya dan berharap semua mendoakan urusan rawatannya di Jerman dipermudahkan.

Antara kelihatan menghantarnya adalah Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said,
“Terima kasih kepada semua yang turut menghantar saya dan isteri di KLIA semalam. Doakan semoga urusan rawatan saya di Jerman akan dipermudahkan.
“Doakan juga saya selamat menjalani rawatan dan pulang ke tanah air,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah, dilaporkan memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam supaya pasportnya dikembalikan sementara.
Ia bagi membolehkannya ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan kesihatan membabitkan sakit belakang dan leher yang dialaminya.
Kedua-dua mahkamah berkenaan membenarkannya ke Jerman dan memulangkan sementara pasportnya. – Malaysiapost

