PRN Melaka: Pembangkang sepakat guna logo PH – Anwar

0
1
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PAKATAN Harapan (PH) sebulat suara bersetuju untuk menggunakan logo gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia juga akan menjadi ujian permulaan bagi penggunaan logo itu dalam pilihan raya gabungan parti berkenaan.

“Seluruh kekuatan PH iaitu Amanah, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan hanya menonjolkan logo PH.

“Kami berjuang hanya atas satu logo, satu pendirian dan satu manifesto,” katanya pada sidang media Ibu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Terdahulu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, PH telah memuktamadkan agihan kerusi bagi PRN Melaka termasuk untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagi PRN Melaka, jumlah yang ditandingi ialah DAP kekal lapan kerusi, Amanah (sembilan kerusi) dan PKR 11 kerusi.

Menurut Anwar, proses pembahagian kerusi itu telah melalui proses yang panjang bermula dari peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), peringkat negeri, peringkat jawatankuasa khas yang mewakili pimpinan sebelum diangkat ke Majlis Presiden PH.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka adalah pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November depan.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Ia susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan daripada kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here