Mahasiswa dari keluarga B40 bakal terima tablet

0
1
Belanjawan 2022 (Budget 2022)

KERAJAAN akan memastikan pengajian mahasiswa daripada keluarga B40 terus terpelihara dengan membekalkan sebuah tablet kepada mereka.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih akan melaksanakan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi.

Katanya, sepanjang tempoh pandemik, mahasiswa tetap meneruskan pengajian mereka dalam norma yang baharu.

“Bagi pelajar yang kurang mampu, mereka adakalanya perlu meminjam peranti kawan, atau terpaksa ke pusat internet di pekan, untuk membuat tugasan pengajian. Malah, kadang-kadang ada juga antara mereka yang tidak dapat hadir ke kuliah online.

“Bagi tujuan ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM450 juta di samping komitmen syarikat telekomunikasi yang turut menyumbang kira-kira RM65 juta.

“Insya-Allah, seramai 600,000 siswa-siswi daripada keluarga B40 bakal menerima manfaat daripada inisiatif ini,” katanya ketika berucap membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul menambah, kerajaan bercadang untuk melanjutkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember 2022. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here