KERAJAAN bercadang untuk memperkenalkan cukai khas secara ‘one-off’ kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi pada tahun taksiran cukai 2022.
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata cukai dengan nama Cukai Makmur itu adalah bagi membiayai keperluan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Berikutan krisis pandemik COVID-19, keperluan meningkat untuk membiayai golongan rakyat yang terjejas.
“Bagi memastikan sistem kesihatan awam lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ancaman pada masa hadapan, kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai khas secara one-off kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24 peratus.
“Pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33 peratus bagi tahun taksiran 2022,” katanya. – Malaysiapost

