SEBANYAK 11 kluster baharu Covid-19 dilaporkan hari ini membabitkan empat kluster tempat kerja, masing-masing dua kluster pendidikan tinggi, dua kluster pendidikan lain dan dua kluster komuniti serta satu kluster kumpulan berisiko tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster-kluster berkenaan membabitkan tiga di Selangor, dua di Johor, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Melaka, Pahang, Negeri Sembilan dan Kelantan
Menurutnya, kluster tempat kerja yang dilaporkan adalah Industri PLO Enam Kulai, Johor (11 kes); Industri Tiong, Tampin, Negeri Sembilan (13 kes); Lot 10 Bentong, Pahang (34 kes); dan Industri Jalan 9/1, Hulu Langat, Selangor (21 kes).
“Kluster pendidikan tinggi adalah di KM24 Kok Lanas, Kelantan (11 kes) dan Jalan Hang Tuah Jaya, Melaka (18 kes), manakala kluster pendidikan lain adalah Jalan Permatang Bendahari, Pulau Pinang (16 kes) dan Jalan Pahlawan Kluang, Johor (11 kes).
“Dua kluster komuniti adalah di Jalan Parit Lapan (16 kes) dan Parit Enam Belas (25 kes) yang kedua-duanya di Sabak Bernam, Selangor.
“Manakala kluster kumpulan berisiko tinggi pula dikesan di Lebuh Mcnair, Pulau Pinang (16 kes),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhan 5,763 kluster dikesan setakat ini dan jumlah kluster yang tamat adalah 5,303 kluster, manakala kluster masih aktif adalah 460 kluster.
“Daripada 6,060 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 105 kes (1.7 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 5,955 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Kes sembuh yang dilaporkan hari ini adalah 7,297 kes menjadikan keseluruhan 2,361,919 kes sembuh,” katanya. – Malaysiapost

