
BARISAN Nasional (BN) Melaka akan mematuhi keputusan kepimpinan parti untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ucapan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam bukan ditentukan individu, sebaliknya keputusan gabungan itu sendiri, lapor Melaka Hari Ini.
“Itu keputusan parti bukan keputusan individu, itu keputusan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno sebelum ini.
“Saya ingat Presiden (Umno) sudah bagi noktah, takkan saya hendak padam noktah itu. Saya akan ikut apa sahaja, saya setia kepada parti saya, apapun Presiden cakap. Kalau noktah, jadi noktah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perluasan Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Ayer Keroh hari ini.
Malam tadi Ahmad Zahid ketika melancarkan jentera BN bagi PRN Melaka mengulangi pendirian tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN tersebut.
Beliau berkata, pendirian itu diputuskan berdasarkan keputusan akar umbi, meskipun terpaksa berdepan pertembungan tiga penjuru. – Malaysiapost
