Langgar SOP: BN kena kompaun RM10,000

0
2

BARISAN Nasional (BN) dikompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Kompaun tersebut dikeluarkan Pejabat Kesihatan Kepong mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ia susulan kegagalan BN memastikan penjarakan fizikal ketika majlis pelancaran jentera bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia di ibu negara.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lewat malam tadi memaklumkan perkembangan tersebut menerusi hantaran di Facebooknya.

“Pejabat Kesihatan Kepong telah mengeluarkan kompaun di bawah Akta 342 kepada Barisan Nasional malam ini kerana telah melanggar SOP Fasa 4 PPN bagi penganjuran majlis sosial,” katanya.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri kepimpinan tertinggi BN antaranya Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Lembaga Penasihat, Datuk Seri Najib Razak; Setiausaha Agung, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Bendahari Agung, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Pelancaran jentera PRN BN diadakan di Kuala Lumpur berikutan SOP ditetapkan KKM melarang sebarang perhimpunan awam atau majlis sosial berkaitan pilihan raya di Melaka.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan, termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.

Beliau menegaskan ia bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes dengan mendadak.

Larangan tersebut berkuatkuasa bermula 25 hingga 27 November 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here