UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih belum memuktamadkan calon yang mewakili parti itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata senarai individu yang akan bertanding bagi mewakili parti itu dijangka diputuskan sebelum hari penamaan calon.
“Calon (PRN Melaka) belum dimuktamadkan, tetapi di peringkat bahagian dan negeri, mereka sudah mengumpul nama yang disenarai pendek.
“Bagaimanapun kita di peringkat pusat masih belum lagi menentukannya,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Mohamad berkata, calon yang akan diketengahkan kelak bakal menggabungkan mereka yang berpengalaman dan muka baharu.
Beliau berkata, gabungan mereka yang berpengalaman dan muka baharu sebagai calon dalam pilihan raya adalah amat penting.
“Itu kebiasaan dalam mana-mana pilihan raya, akan ada muka baharu, akan ada muka lama dikekalkan kerana gabungan pengalaman dan yang baharu itu penting,” katanya.
Ditanya mengenai gambar tular membabitkan beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri; Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Datuk Seri Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini, Mohamad menjelaskan ia adalah pertemuan biasa membabitkan lima pemimpin tertinggi Umno.
“Pertemuan itu memang diadakan secara berkala, sekali setiap dua minggu. Kita pun tahu jadual Perdana Menteri padat dan disebabkan itu kita ada pertemuan setiap dua minggu, duduk minum teh, berbincang mengenai parti.
“Malah parti juga memberi input dan pandangan kita mengenai urusan dasar kerajaan. Jadi yang mana kita boleh beri pandangan, kita bantulah,” katanya. – Malaysiapost
Kredit foto: Face book Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan

