
PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad, turut mempersoalkan layanan istimewa yang diterima oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dibenarkan ke Singapura selama lebih sebulan.
Ahli Parlimen Langkawi itu, berpendapat perkara itu adalah sesuatu yang luar biasa kerana Najib kelihatan sihat kerana boleh ke Parlimen dan ke sana sini untuk berkempen tetapi ‘tidak sihat’ untuk dibicarakan di mahkamah.
“Sekarang ini pula dia boleh dapat pasport semula untuk pergi ke negara lain. Bukan sahaja itu, bila dah dapat pasport, boleh pula tangguhkan kerana dia nak berkempen.
“Jadi saya tidak tahu apa punya jenis pemerintahan ini…kadang-kadang boleh, kadang-kadang tidak boleh…orang ini boleh, orang itu tidak boleh.
“Mana ada keadilan…dalam bahasa Inggeris ‘justice delayed is justice denied’,” katanya dalam sidang media Pejuang di Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur, hari ini.
Dr Mahathir berkata, rayuan kes membabitkan Ahli Parlimen Pekan itu sepatutnya didengar pada April iaitu enam bulan lepas, naum hingga sekarang belum didengar lagi.
“Orang lain semua boleh pergi mahkamah, boleh bicara..boleh kena hukum..boleh masuk penjara pun, tetapi orang ini (Najib) sudah kena hukum dan sudah dihukum bersalah tetapi tidak masuk penjara
“Dapat pengiring macam VIP, jadi penjenayah VIP pertama yang dapat pengiring di Malaysia,” sindirnya.
Sementara itu Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, pula memaklumkan beliau mendapat banyak aduan dan rungutan daripada pelajar dan graduan baharu.
Menurutnya, mereka menghadapi masalah kerana dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini tiada kerja dan tidak mampu bayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
“Jadi kerana tidak bayar PTPTN, mereka dihalang daripada ke luar negara
“Keduanya, doktor-doktor yang ada tunggakan bayaran cukai lama. Bukan banyak sangat ada yang tidak sampai RM1,000 tetapi mereka juga tidak dibenarkan ke luar negara malah pasport mereka disekat.
“Jadi mereka persoalkan kenapa orang yang sudah terbukti bersalah kes kecurian ratusan juta ringgit hingga bilion boleh diberi semula pasport oleh mahkamah dan Pejabat Peguam Negara tidak langsung mempertikaikannya,” katanya.
Menurutnya, ramai yang merungut dan mengadu mengenai keadaan layanan ‘kayangan dan marhaen’ ini. – Malaysiapost
