KENYATAAN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kononnya keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan pandangan peribadi Presiden Umno adalah tidak benar.
Pengarah Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu seperti tidak menghormati hal ehwal dalaman Umno.
Malah, katanya kenyataan itu semata mata melancarkan perang psikologi serta bagai ‘mencurah minyak atas bara api’ dan berusaha melaga-lagakan Umno supaya dilihat berpecah belah.
“Asas penolakan akar umbi kepada Bersatu jelas bahawa Umno di semua peringkat tidak dapat menerima untuk bekerjasama dengan pihak yang mengkhianati perjuangan dan berterusan melakukan usaha melemahkan Umno.
“Bagaimanapun Pemuda Umno akan akur dengan sebarang keputusan parti jika ada sebarang perubahan dasar untuk mengadakan kerjasama politik dengan sesiapa sahaja.
“Namun sebagaimana peruntukan perlembagaan Umno, sebarang ketetapan Perhimpunan Agung hanya boleh dirombak dengan kembali semula kepada perwakilan untuk membuat keputusan baharu,” katanya.
Semalam Mohamed Azmin mendakwa pemimpin serta akar umbi Umno masih mahu parti itu mewujudkan kerjasama dengan PN dalam PRN Melaka.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata penolakan kerjasama dengan PN dalam PRN Melaka adalah pandangan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Syed Mohd Johan

