
MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WPRCM) ke-72 di Hemiji, Jepun bermula 25 hingga 29 Oktober ini.
Beliau berlepas ke Jepun hari ini dan disertai Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan WPRCM ke-72 itu akan membincangkan isu dan resolusi yang telah dipersetujui pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-74 yang berlangsung dari 24 Mei hingga 1 Jun lalu secara atas talian.
Menurutnya, mesyuarat itu juga akan membincangkan cadangan agenda bagi WHA ke-75 yang akan diadakan pada Mei tahun hadapan.
“Antara perkara berbangkit yang bakal dibincangkan termasuklah penjagaan kesihatan premier, Covid-19, kesihatan sekolah, laporan kemajuan program-program teknikal serta usaha koordinasi dan kepimpinan.
“Dalam rangka mesyuarat lima hari itu, Menteri Kesihatan dijangka mengadakan beberapa Siri mesyuarat dua hala dengan negara-negara berkepentingan bagi membincangkan isu strategik dua hala,” menurut kenyataan KKM.
Menurut KKM, Khairy Jamaluddin turut dijemput sebagai ‘speaker’ untuk sesi Khas bertemakan ‘Communication for Health’ pada 28 Oktober ini.
“Beliau turut dijadualkan membuat kenyataan celahan ke atas laporan Pengarah Rantau Pasifik Barat dan seterusnya memuktamadkan agenda perbincangan berhubung keselamatan kesihatan dan rintangan antimikrob, penyakit tidak berjangkit dan penuan, perubahan iklim, alam sekitar dan kesihatan; dan cadangan visi baru bertajuk ‘For the Future’,” katanya.
KKM memaklumkan, kehadiran Malaysia di WPRCM ke-72 merupakan manifestasi komitmen penuh negara yang sentiasa menyokong pelaksanaan tindakan bersepadu negara anggota dalam usaha pencegahan, pengawalan, dan perawatan penyakit berjangkit, penyakit tidak berjangkit dan penyakit baharu muncul.
“Penyertaan Malaysia penting bagi memastikan kepentingan dasar negara diberi pertimbangan oleh WHO dalam membuat sebarang keputusan yang lebih baik.
“Malaysia juga berpeluang untuk menyatakan pendirian dalam membangunkan sektor kesihatan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya. – Malaysiapost
