JENAZAH pengarah dan penerbit terkenal, Mamat Khalid, 58, selamat disemadikan Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh, Ipoh, Perak hari ini.
Jenazah Allahyarham Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid dikebumikan kira-kira jam 2.20 petang.
Terdahulu jenazah disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Kampung Sungai Rokam, Ipoh dihadiri kira-kira 200 jemaah, terdiri ahli keluarga, saudara mara, pelakon, peminat dan penduduk sekitar selepas solat Zohor.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Mamat.
Rakan-rakan artis antaranya Datuk Awie, Khir Rahman, Bell Ngasri juga hadir memberi penghormatan terakhir.
Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung, di dalam ambulans ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, kira-kira jam 12.30 malam tadi.
Dikatakan beliau rebah ketika berada di restoran miliknya di Sarang Art Hub, Slim River sebelum dikejarkan ke hospital.
Allahyarham sebelum ini pernah beberapa kali menerima rawatan di hospital akibat masalah paru-paru dan jantung.
Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Hasmah Hassan dan lima orang cahaya mata. – Malaysiapost

