Tun M menipu mengatakan keputusan ICJ tidak boleh dirayu – Najib

0
1

MALAYSIA telah menemui bukti kukuh pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) untuk semakan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap penghakiman Pulau Batu Puteh yang telah terlepas ke tangan Singapura.

Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu menjadi Perdana Menteri, mendakwa penemuan bukti-bukti baharu itu telah dikemukakan untuk semakan ICJ yang sepatutnya dihakimi pada 2018.

Malangnya, perkara itu tidak menjadi kenyataan apabila Malaysia di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membatalkan semakan penghakiman Pulau Batu Puteh pada tahun berkenaan.

“Maka persoalannya ialah kenapa Tun Mahathir dan kabinet kerajaan PH telah menarik balik tuntutan kita di ICJ cuma dua minggu sebelum perbicaraan di ICJ bermula sedangkan kebanyakan kos siasatan dan guaman telah pun di belanja masa itu?” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas mengenainya, Najib berkata, Artikel 61 ICJ jelas membenarkan semakan sekiranya Malaysia mengemukakan bukti-bukti baharu yang tidak wujud semasa keputusan ICJ dibuat pada 2008.

“Tun Mahathir jelas menipu apabila dia kata keputusan ICJ memberi Pulau Batu Puteh kepada Singapura adalah muktamad dan tidak boleh dirayu.

“Tun boleh baca sendiri: https://www.icj-cij.org/en/statute,” katanya.

Najib berkata, pada 2011 hingga 2013, National Archives United Kingdom telah melepaskan 3,000 dokumen yang sebelum ini dirahsiakan.

“Dan dari 3,000 dokumen ini, hasil siasatan kita berjaya mengesan beberapa dokumen penting yang sangat membantu kes kita.

“Termasuk dokumen pegawai British yang menulis kepada Advisor Johor yang mengaku Pulau Batu Puteh (ataupun Pedra Brance) dengan bangunan rumah api Horsburgh tidak termasuk dalam kawasan yang diberi kepada British oleh kesultanan Johor dalam perjanjian tahun 1824,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga satu laporan angkatan laut British tahun 1958 yang mengaku mereka dihalang untuk mengambil tindakan terhadap sebuah kapal Indonesia yang sedang mengancam kapal Singapura di sekitar Pulau Batu Puteh.

Menurutnya, ia kerana perairan di kawasan terbabit dalah di bawah kerajaan Johor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here