PENYANYI dan pelakon terkenal Elly Mazlein selamat menimang cahaya mata kedua di sebuah hospital swasta di Selangor, tengah malam tadi.
Berita gembira itu dimaklumkan Elly atau lebih dikenali sebagai Kak Lina Pom-pom menerusi hantaran Instagramnya, sebentar tadi.
Elly, 40, berkata, bayi yang dinamakan Haider Mateen Mohamad Azlan itu dilahirkan di Hospital Kanak-kanak dan Wanita Andorra tepat jam 12.23 tengah malam tadi.
“Assalamualaikum, Alhamdulillah Kak Pom selamat bersalin pada 23 Oktober jam 12.23 tengah malam tadi.
“Alhamdulillah mama & Haider sihat. Tq atas segala doa. Tq abah, suami & manja jaga mama sepanjang mengandung hingga bersalin. Alhamdulillah kita ada orang baru, bertambah seorang lagi dalam keluarga comel kita. Alhamdulillah syukur Ya Allah,” tulisnya.
Dalam pada itu, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanaf berkata, dia terharu atas layanan baik pihak hospital termasuk jururawat yang membuat bacaan Yassin mendoakan kemudahannya melahirkan anak.
“Memang hebat layanan diberikan, rasa terharu malam tadi sebelum bersalin, suami, umi, nurses membaca surah Yassin, bagi ayat memudahkan bersalin dan doakan Kak Lina.
“Memang Allah permudahkan, syukur… cepat Haider nak jumpa Papa, Mama… sangat sekejap.. Alhamdulillah, syukur,” katanya.
Penyanyi lagu ‘Bungaku Bakawali’ itu menyifatkan kehadiran cahaya mata keduanya itu membawa kebahagiaan berganda dalam rumahtangganya.
“Dengan ini Kak Lina nak memperkenalkan anak ke-2 Kak Lina… Haider Mateen bin Mohamad Azlan.
“Assalamualaikum Haider, welcome to the world our littel bundle of joy,” katanya.
Pada April lalu, Elly mengesahkan dirinya kini sedang berbadan dua hasil perkahwinan keduanya bersama Azlan Che Nuh tahun lalu.
Elly pernah berkahwin dengan pengarah drama Azmi Hatta pada 9 November 2014, namun, bercerai pada 15 Oktober 2015.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Puteri Sara Sefhia yang berusia lima tahun. – Malaysiapost

