‘Pembatalan semakan Pulau Batu Puteh, masih jadi tanda tanya’ – Khaled

0
1
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin ketika keluar dari Bangunan UMNO selepas selesai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam ini.

MASIH menjadi teka-teki kepada negara kenapa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad membatalkan semakan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap penghakiman Pulau Batu Puteh pada tahun 2018.

Malah, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Dr Mahathir mensia-siakan penemuan dua bukti terbaharu untuk Malaysia mencabar semula kesahihan keputusan penghakiman terdahulu yang memberikan hak kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Beliau berkata, Dr Mahathir tidak menjawab persoalan sebenar berhubung isu Pulau Batu Puteh menerusi kenyataannya beberapa hari lalu.

“Persoalan sebenar ialah apakah sebab sebenarnya Kerajaan PH tidak meneruskan semakan terhadap penghakiman Pulau Batu Puteh.

“Benar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak boleh dirayu. Tetapi dengan timbulnya bukti terbaru, satu permohonan untuk semakan telah dikemukakan oleh Malaysia pada Februari 2017,” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas mengenainya, Mohamed Khaled berkata, pada 30 Jun 2017, Malaysia juga mengemukakan permohonan untuk ICJ mentafsirkan penghakimannya pada 2008 tentang Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

“ICJ telah bersetuju untuk mendengar penghujahan Malaysia dengan memberikan tarikh untuk pendengaran semakan tersebut.

“Apa Tun Mahathir lupa bahawa dua daripada bukti baru yang ditemui itu adalah dokumen yang hanya boleh diakses setelah tahun 2008. Secara undang-undang, dokumen tersebut hanya boleh diakses setelah tamat tempoh kerahsiaannya,” katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu menambah, dokumen pertama menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura tidak pernah menggangap Pulau Batu Puteh sebahagian dari Singapura.

“Dokumen kedua menunjukkan bahawa Tentera Laut British memperakui bahawa perairan di kawasan ketiga-tiga pulau tersebut adalah perairan dan wilayah Johor.

“Dan dokumen terakhir menujukkan bahawa peta-peta operasi tentera laut British menunjukkan sempadan wilayah Singapura tidak termasuk Pulau Batu Puteh.

“Semua dokumen tersebut, dengan jelas menunjukkan bahawa Pulau Batu Puteh tidak berada dalam wilayah republik itu,” katanya.

Persoalannya, Mohamed Khaled berkata, jadi kenapa di sebalik semua bukti baru ini, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskannya proses semakan tersebut.

“Sudah sewajarnya penemuan bukti material ini memerlukan ICJ memutuskan nilainya terhadap tuntutan Malaysia.

“Jika Tun Mahathir telah dinasihati oleh sekumpulan pakar undang-undang antarabangsa, siapakah mereka dan apakah nasihat yang mereka kemukakan dalam konteks bukti baru yang ditemui.

“Yang jelas, Kerajaan PH telah cuai dalam tindakanya mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia dan wajar dipertanggungjawabkan ke atas tindakan culas tersebut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here