MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengingatkan orang ramai supaya memakai semula pelitup muka sejurus selesai makan di premis makanan.
Beliau berkata, peringatan itu dibuat selepas melihat ramai yang leka tidak mengenakan semula pelitup muka ketika ‘dine ini’ apabila selesai makan.
“Peringatan mesra, sekiranya anda makan di kedai, tolong pakai semula pelitup muka apabila habis makan.
“@KKMPutrajaya mendapati ramai yang bersembang tanpa memakai semula pelitup muka selepas selesai makan.
“Bila dah habis makan & mahu sembang pasca makan, pakai semula pelitup muka. #ReopeningSafely,” ciapnya di Twitter.
Ciapan itu menerima reaksi positif pengguna Twitter yang meminta semua pihak meningkatkan kesedaran kepentingan pemakaian pelitup muka di tempat umum termasuk kedai makan.
Malah, ramai yang menzahirkan kebimbangan apabila prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka semakin dipandang ringan oleh masyarakat.
Terdahulu, kerajaan membenarkan individu yang lengkap divaksin boleh `dine-in’ di semua negeri tanpa mengira fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kemudahan ‘dine-in’ itu hanya dibenarkan untuk mereka yang sudah lengkap divaksin bagi semua fasa pemulihan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Khairy Jamaluddin

