Larangan merokok di premis makanan masih berkuat kuasa

0
1
Orang ramai mula makan di dalam restoran di sekitar Kuala Lumpur, selepas kerajaan membenarkan pelanggan untuk makan di dalam premis makanan bermula hari ini. Peraturan itu terhad kepada dua pelanggan di sebuah meja dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menegaskan larangan merokok di premis makanan masih berkuat kuasa sehingga kini.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai supaya terus patuh kepada larangan tersebut.

“Larangan merokok di premis makanan masih berkuatkuasa dan orang ramai dinasihatkan patuh kepada larangan tersebut,” katanya menerusi ciapan ringkas di Twitter hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang berkata penguatkuasaan ke atas larangan merokok di premis makanan akan dipertingkatkan.

Terdahulu hari ini Khairy berkata, beliau sudah mengarahkan bahagian penguatkuasaan untuk turut sama memantau perkara itu ketika melakukan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19.

Beliau berkata, usaha memperkasa larangan merokok di tempat awam ketika zaman bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad disifatkan sebagai dasar yang bagus.

Sebelum ini, ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) usaha memperkasa larangan merokok di tempat awam seperti kedai makan telah menjadi antara agenda utama KKM.

Dr Dzulkefly tegas menguatkuasakan larangan tersebut sehingga ia menimbulkan kegentaran dalam kalangan perokok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here