KEGAGALAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan bebas mengenai kebocoran Kertas Pandora sungguh mengecewakan, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata sebaliknya SPRM hanya akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi penyiasatan lain.
“Seharusnya SPRM bertindak secara adil, bebas dan profesional dengan membuka kertas siasatan ini secara bebas, bukannya hanya bekerjasama dengan BNM dan agensi lain untuk menyiasat pendedahan tersebut.
“Skandal Pandora Papers merupakan isu pengeluaran wang negara secara haram ke akaun luar pesisir yang melibatkan berbilion-bilion ringgit.
“Kertas Pandora merujuk kepada sejumlah dokumen yang dibocorkan kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ),” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Akmal berkata maklumat itu berasal dari sejumlah syarikat yang membantu pelanggan menubuhkan atau menguruskan akaun luar pesisir dan syarikat bagi tujuan mengelak dari dikenakan cukai.
Susulan itu, katanya, apa yang berlaku ialah kerajaan dan SPRM kelihatan tidak mengambil tindakan tegas memandangkan ia melibatkan kebanyakan pemimpin pro-kerajaan.
“Maka SPRM sewajarnya membuka kertas siasatan yang bebas dan telus bagi meyakinkan semua pihak bahawa isu ini ditangani secara profesional,” katanya lagi.
Sabtu lalu media melaporkan, SPRM akan bekerjasama bersama BNM dan agensi-agensi lain untuk menyiasat Kertas Pandora yang didedahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kertas Pandora adalah laporan yang mendedahkan senarai urus niaga melibatkan tokoh-tokoh politik, ahli-ahli perniagaan, selebriti-selebriti yang membuka akaun di pusat-pusat kewangan pesisir di dunia.
Beberapa nama ahli politik dan ahli perniagaan Malaysia turut disebut dalam Kertas Pandora. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Akmal Nasir

