SEHARI selepas ikat jamin Aryan Khan ditolak, pelakon Bollywood popular, Shah Rukh Khan menemui anaknya itu di penjara Arthur Road, Mumbai selama 18 minit, hari ini.
Memetik laporan India Today, pelakon itu diberikan masa 20 minit dan dia menghabiskan masa sekitar 18 minit dengan anaknya menggunakan interkom untuk berinteraksi dengan Aryan di bahagian pertemuan banduan di penjara berkenaan.
“Dalam pertemuan itu, Aryan Khan kelihatan emosi.
“Tiada layanan istimewa diberikan kepada Shah Rukh Khan,” kata sumber daripada portal India Today.
Ini adalah kali pertama Aryan bertemu dengan ahli keluarga sejak ditangkap oleh Biro Pengawalan Narkotik (NCB) berhubung penahanan beliau di kapal persiaran di luar Mumbai pada 2 Oktober lalu.
Pertemuan itu berlangsung di hadapan pihak berkuasa penjara. Atas sebab keselamatan, kawasan itu kosong ketika kunjungan aktor terbabit.
Permohonan ikan jamin Aryan Khan telah ditolak buat kali kedua, manakala rayuan jaminan akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Bombay pada Selasa. – Malaysiapost

