SERAMAI 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan menerusi Op Benteng dalam dua operasi berasingan di Pasir Logok, Kota Tinggi, hari ini.
Kesemua mereka terdiri daripada 25 lelaki dan lima wanita berusia 19 hingga 53 tahun.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan berkata, tangkapan pertama dilakukan jam 1.40 pagi tadi apabila anggota petugas Pos Pemerhati mengesan pergerakan sekumpulan individu menuju ke tepi pantai terbabit.
“Hasil maklumat tersebut, pasukan telah menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) bagi melaksanakan serbuan dan berjaya menahan 25 PATI yang sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, tangkapan kedua dilakukan pada jam 9 pagi tadi membabitkan lima lagi PATI di sekitar kawasan tersebut dipercayai baru saja tiba ke Malaysia melalui laluan yang tidak sah.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM41,367 melibatkan matawang Malaysia sebanyak RM15,713.30 dan Indonesia IDR 20,207,625.00 (RM 5,958.97) bersama 40 telefon bimbit serta barang kemas.
Menurut kenyataan itu lagi, kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Setia Tropika, Kempas.
“Selain itu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.
“Dalam pada itu, pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” katanya. – Malaysiapost

