Kes Sajat menunjukkan Malaysia ada isu hak asasi manusia – Kit Siang

0
1

VETERAN DAP Lim Kit Siang, berpendapat kejayaan Malaysia mendapat tempat dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini adalah bertentangan dengan keadaan sebenar masalah hak asasi di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, berkata kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menangani banyak masalah hak asasi manusia yang dibangkitkan sebelum ini.

Kit Siang memberi contoh kes terbaharu membabitkan usahawan kosmetik buruan, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Sajat yang mengesahkan sudah berhijrah ke Australia

“Hari ini adalah hari ke-60 Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia dan pada hari ke-55 memerintah Malaysia dipilih untuk mendapat tempat dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan PBB.

“Pada hari ke-59 memerintah, Sajat mengesahkan berpindah ke Australia secara tetap, dengan alasan merasa tidak selamat di Malaysia susulan kes Mahkamah Syariah terhadapnya kerana berpakaian sebagai wanita tiga tahun lalu.

“Betapa bezanya hak asasi manusia di Malaysia!” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rekod hak asasi Malaysia bukan penentu pencalonan dalam Majlis berkenaan, maka tidak wajar menganggap kejayaan itu adalah pencapaian dan pengiktirafan yang hebat mengenai status hak asasi manusia.

Kit Siang berkata, oleh yang demikian Ismail Sabri perlu menyampaikan laporan 100 harinya sebagai Perdana Menteri pada 28 November ini membabitkan hak asasi manusia di Malaysia.

“Beliau harus menyatakan kedudukan hak asasi manusia sekarang dan bagaimana pentadbirannya mengusulkan untuk menjaga hak asasi manusia sebagai tunjang usaha pemulihan berterusan dan inklusif pasca Covid-19.

“Hanya dengan itu pengawasan hak asasi manusia oleh pentadbirannya dapat dipantau, baik dalam negara dan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau mendakwa, dua tahun terakhir ini adalah yang terburuk negara untuk hak asasi manusia dalam tempoh enam dekad di mana pelampau, ekstremis agama dan kaum terus berleluasa.

“Terdapat banyak masalah hak asasi manusia yang harus ditangani oleh Ismail Sabri dengan menyatakan tindakan apa yang akan diambil untuk menyelesaikannya.

“Antaranya kes kematian Teoh Beng Hock dan Altantunya Shaariibuu, kehilangan Pastor Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat dan kes tuntutan Indira Gandhi terhadap hak penjagaan anak perempuannya yang berlarutan selama 12 tahun,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here